Terlenakah kita?

Manusia adalah makhluk sosial yang dipengaruhi lingkungan, sedangkan kondisi lingkungan sendiri adalah ciptaan manusia. Maka kalau kita memperdebatkan mana yang dahulu mempengaruhi, manusia atau lingkungan, sama halnya dengan memperdebatkan yang mana dahulu antara penciptaan telur dan ayam. Di dalam segala aspek kehidupan, mereka cuba meletakkan kolektiviti (demokrasi) sebagai batu asas, sehinggakan baik buruk sesuatu ditentukan dengan suara majoriti. Bayangkan, jika yang majoriti adalah mereka yang kaya dan terus menginginkan kekayaan, sedang yang miskin akan terus miskin dan terhimpit.


Di dunia ini ada dua kekuatan besar, kekuatan Tuhan dan kekuatan syaitan, dan tempat bertempur keduanya adalah hati manusia.

Jika anda melemparkan suatu pertanyaan ke khalayak ramai, itu sama halnya dengan tak bertanya pada sesiapapun. Di sini jelas bahwa individu lebih hakiki daripada kolektif (umum/demokrasi). Begitulah lemahnya demokrasi dan banyaknya kekurangan serta kelemahan tetapi kerap ditampung oleh mereka yang terlebih-lebih manusia agung-agungkan.

Untuk kembali kepada islam daripada rekayasa sosial,  adalah suatu hubungan yang sangat ditentukan oleh sejauh mana intensifnya (roh) islam wujud dalam suatu komuniti sosial tersebut. Jika ada hal-hal negatif yang muncul dari suatu masyarakat yang menjadikan islam sebagai pedoman dasar dalam menghukumnya, itu harus dilihat sebagai hasil dari ketegangan antara dua kekuatan besar, baik dan jahat, yang pada lahirnya manusia menginginkan kebaikan. Kerana pada saat panji-panji islam benar-benar tertegak sekalipun, kejahatan tak akan pernah mati, tetap hidup, tetapi apakah pendokong kejahatan (syaitan) lebih hakiki daripada kebenaran (Ilah)?

Begitulah halnya dengan islam dan demokrasi. Sedangkan demokrasi diagung-agungkan dan diangkat oleh mereka yang memusuhi islam pada awalnya, kini diperjuangkan sendiri oleh mereka yang mengaku beragama islam. Sehinggakan musuh tidak lagi perlu bekerja untuk memastikan islam tetap berada pada dasar kerana yang bekerja adalah mereka yang dimusuhi itu sendiri. Lucunya dunia kini. Adakah kita hanya menunggu akan tiba masanya sistem ciptaan musuh ini luput dan larut ditelan masa, dan pastikah kita akan tibanya saat itu tanpa perlu kita bekerja ke arahnya?

Hal yang paling menarik pada seekor kambing hitam adalah jika ada selembar bulu putih terselit pada badannya. Dan hal yang paling menarik dari seekor kambing putih adalah selembar bulu hitam yang menyelinap di antara bulu-bulu putih. Begitulah perumpamaan demokrasi dalam negara yang majoritinya beragama islam.

Yang paling menggelikan hati pada apa yang berlaku kini, ketika Islam belum lagi menunjukkan taringnya, mereka sudah menegakkan bendera penentangan terhadap islam. Seolah-olah islam sudah begitu kukuhnya tertegak di negeri ini. Di usia yang sudah lebih berabad islam jatuh, mereka masih memandang islam sebagai suatu kekuatan yang punya potensi menelan demokrasi, sehingga perlu diwaspadai. Anehkah ini? Tidak! Kerana musuh jarang terlena sebagaimana umat islam terlena. Jatuh bangunnya umat islam tidak pernah lekang dari pundak kerisauan mereka. Malah, apabila islam menunjukkan sinarnya sedikit demi sedikit, mereka akan cuba memayungi masyarakat dengan payung hedonisme yang mereka bawa. Berbilion modal yang mereka keluarkan demi melariskan payung keluaran mereka, dan kitalah pembelinya. Mereka terus kaya dan berkuasa, sedang kita terus mundur lemah tiada nilai pada pandangan dunia.


Begitulah hebatnya pertarungan antara jahat dan baik. Sehinggakan kita sendiri terkeliru berada pada pihak yang mana. Mulut mengaku baik, sedang perbuatan menyokong keinginan hawa nafsu yang dahagakan hiburan dan laparkan pangkat serta kekayaan. Apabila segala keinginan dipenuhi, terlenalah dia sehingga tiada apa pun lagi mampu membangunkannya.

Wallahualam.


Wan Ahmad Syahir Wan Sagar